Friday, November 6, 2009

Tiba-Tiba Tak Boleh Niaga !


Saya ada satu syarikat Knockout Fumigation Sdn. Bhd. yang menjalankan perniagaan Fumigasi. Fumigasi adalah salah satu dari cabang perniagaan kawalan serangga perosak. Aktiviti utama syarikat ini adalah menjalankan perkhidmatan fumigasi terhadap barang-barang berasaskan kayu sebelum diekspot ke luar negara

Setelah kerja fumigasi dilaksanakan satu sijil akan dikeluarkan kepada pengekspot sebagai bukti bahawa komoditi yang diekspot itu adalah bebas dari serangga perosak. Semua negara di dunia telah bersepakat untuk bersama menghalang penyebaran serangga perosak melalui undangundang fumigasi ini.

Syarikat yang layak menjalankan fumigasi dan mengeluarkan sijil itu perlu terlebih dahulu diiktiraf oleh Jabatan Pertanian melalui satu sistem akreditasi di mana Pegawai Jabatan Pertanian akan mengaudit operasi dan pengurusan syarikat yang memohon.

Setelah lulus proses penilaian tersebut, barulah syarikat  diiktiraf sebagai pengendali fumigasi yang bertauliah. Sijil yang dikeluarkan oleh syarikat yang bertauliah tersebut diiktiraf oleh semua negara di dunia.

Minggu ini pihak berkuasa Australia telah datang secara mengejut memantau operasi syarikat saya dalam melaksanakan kerja fumigasi untuk barangan yang dihantar ke Australia. Hasilnya amat mengecewakan di mana syarikat saya telah gagal mencapai standard yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa Asutralia.

Hasilnya sijil akreditasi syarikat saya telah digantung serta merta. Implikasinya adalah amat besar sekali apabila Jabatan Pertanian Malaysia juga telah menggantung semua sijil akreditasi syarikat saya untuk semua negara.

Sekarang saya tersandar akibat kehilangan punca pendapatan dari aktiviti syarikat tersebut sebanyak lebih dari RM80,000 sebulan. Saya berkeadaan hilang punca dan cemas dengan keadaan ini.

Untuk tidak mensia-siakan masalah yang telah menimpa saya, maka saya rasa perlu menyenaraikan segala kelemahan saya dalam membina syarikat ini agar dapat dijadikan pedoman di masa depan dan juga sebagai panduan rakan-rakan usahawan lain untuk tidak melakukan kesilapan bodoh yang sama.

Saya dapat senaraikan beberapa kesilapan-kesilapan berikut di bawah yang tidak patut diulangi:

1. Semua pekerja operasi yang mengendalikan syarikat tidak berkelayakan dan tidak mencapai standard yang telah ditetapkan.

Silapnya saya walaupun mengetahui perkara tersebut namun saya tidak berusaha bersungguh-sungguh membetulkan keadaan itu malah membiarkan pengurusan meneruskan aktiviti perniagaan dengan pemantauan yang longgar.

Saya sepatutnya turun padang bersama-sama semua pekerja dan membantu mereka sehingga standard yang diperlukan tercapai. Saya sepatutnya tahu terlebih dahulu apa kelemahan dan bagaimana penyelesaiannya untuk membolehkan saya memimpin mereka ke tahap yang diperlukan.

Saya sepatutnya tahu bagaimana syarikat lain yang menepati standard beroperasi dan berkawan rapat dengan mereka untuk belajar selok-belok mereka dalam mengendalikan operasi mereka.

Saya sepatutnya berusaha sejak mula meletakkan seorang fumigator yang bertauliah, yang berkelayakan dan kompeten menguruskan segala aktiviti operasi. Individu tersebut hendaklah sama-sama turun padang dan tahu secara yakin akan selok belok pengendalian kerja. Dengan adanya individu tersebut dia dapat merangka program latihan, program persediaan menghadapi segala pemantauan dan audit dari mana-mana pihak berkuasa.

2. Kelengkapan menjalankan kerja tidak sempurna dan tidak mencapai standard yang diperlukan.

Saya tidak berusaha memastikan segala kelengkapan dan peralatan dalam menjalankan kerja fumigasi cukup lengkap dan berada dalam keadaan yang baik walaupun tiada masalah kewangan untuk mengadakan semua yang diperlukan tersebut.

Keadaan yang berlaku adalah seperti "hendak terberak baru mahu korek lubang", segalanya telah terlewat. Sepatutnya segala kerja yang dijalankan perlu mengikuti standard yang ditetapkan samada ketika diaudit atau tidak.

Saya mendapat tahu yang majoriti kerja yang dilakukan adalah berlainan dari kerja-kerja pengauditan. Sepatutnya jika sudah tahu yang kerja-kerja yang sering dilaksanakan adalah berlainan dari kerja semasa audit, saya sepatutnya mengadakan simulasi seminggu atau dua minggu sekali untuk menyediakan latihan yang mencukupi kepada para pekerja sehingga dapat memberikan keyakinan yang tinggi kepada semua pekerja apabila di audit.

3. Tidak memerhatikan perkara yang paling penting sekali dalam perniagaan ini iaitu Lesen Akreditasi di mana tanpanya saya tidak boleh berniaga.

Walaupun saya tahu betapa pentingnya lesen tersebut harus sentiasa hidup dan tidak boleh mati, tiada plan pelaksanaan bagi memastikan perkara tersebut tidak terjadi. Saya menganggap ada orang yang memantaunya yang mana sekadar beranggapan sesuatu telah dibuat dalam perniagaan adalah satu perkara yang wajib dielakkan.

4. Saya terlalu menumpukan pada pengurusan makro perniagaan saya untuk membesarkan lagi perniagaan dalam jangka panjang dan terlepas pandang dalam pengurusan mikro yang saya serahkan bulat-bulat pada orang yang lain dengan sekali lagi menganggap bahawa pengurusan mikro berjalan lancar.

Saya menganggap semua rakan kongsi faham bahawa masing-masing ada tugas yang berlainan dan semua rakan kongsi adalah melengkapi satu dengan yang lain. Kekuatan saya adalah mencari peluang, merangka strategi jangka panjang dan mengatur kerja mula.

Saya perlu dilengkapi dengan orang lain yang meneruskan pembinaan apa yang telah saya mulakan dengan memberikan tumpuan pengurusan harian dan terperinci.

Walaupun saya sedar yang ini tidak berlaku di mana kelihatan seperti semua orang membuat perkara yang sama iaitu menguruskan plan jangka panjang syarikat atau pembinaan makro syarikat, saya biarkannya saja.

Saya tidak berjaya mengubah kesedaran pada rakan kongsi yang lain dan hanya membiarkan semua rakan kongsi banyak melakukan aktiviti PR dan mencari peluang sedangkan strategi jangka panjang biasanya hanya saya yang menyusunnya dan memang sepatutnya tak perlu ada penindihan kerja. Saya membiarkan semua orang menjadi initiator dan tidak ada implementer.

Saya tak menyedari yang team pengurusan fumigasi tidak mempunyai rakan yang rapat dari syarikat pesaing lain yang telah berpengalaman lama dalam industri ini di mana kerjasama latihan dan bench marking dapat dilakukan untuk memastikan syarikat setaraf atau lebih baih dari pesaing.

Ini hanya baru saya sedari apabila menghadapi masalah penggantungan lesen ini di mana saya sendiri terpaksa menggunakan jaringan saya sedangkan saya tidak mengikuti perjalanan terperinci aktiviti fumigasi ini yang mana akan meyukarkan perbincangan.

Patutlah saya gagal dalam audit kerana saya sendiri tidak tahu di mana kedudukan syarikat saya dengan syarikat lain. Barulah saya sedar rupanya syarikat pesaing meninggalkan saya amat jauh samada dari segi pekerja, kelengkapan, latihan, strategi audit dan lain-lain.


Banyak lagi yang boleh di senaraikan di sini. Jika dirumuskan semua berkisar dari sikap tidak peka, kurang kesungguhan, terlalu banyak buat anggapan, tidak ada synergi kumpulan dan rakan, tidak cukup pengalaman dan sebagainya.

Perkara utama yang lebih penting lagi yang perlu saya lakukan sekarang adalah bagaimana untuk memulakan semula pendakian saya yang telah jatuh bergolek. Saya perlu menyusun strategi dan team yang sempurna untuk mendaki semula. Insyallah.

2 comments:

ZulBahau said...

Salam kepada tuan rumah, adakah ini perniagaan saudara sendiri?. Saya turut bersedih namun harus mengucap tahnia kepada saudara kerana mengenalpasti fakta-fakta yang membawa bencana ini.

Persoalan tentang pekerja tidak berkelayakkan ini adalah masalah umum. Saya menghadapi masalah yang sama, setelah berhabis kita hantar mereka kursus untuk menambah kemahiran tiba2 mereka berhenti dan menjadi pesaing kita pula.

begitu juga dengan perlatan dan teknologi kerana ia memerlukan modal insan tadi untuk melaksanakannya.

Namun semua usahawan yang berjaya pernah menghadapi masalah dan mereka dapat keluar dari kemelut tersebut kerana semangat dan ketabahan.

Selamat berusaha untuk bangkit kembali

Mohd Shubhi said...

ZulBahau,
Ya, perniagaan saya sendiri yang saya buat dari kosong tak ada apa.
terima kasih atas kata-kata ransangan anda.

 
Copyright 2009 Moshua Biz. Powered by Blogger Blogger Templates designed by Deluxe Templates